Menurut kamus
DBP, Kuala Lumpur Edisi Ketiga, obesiti bermakna kegemukan yang disebabkan
terdapatnya lemak yang berlebihan. Obesiti menimbulkan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, dan tekanan darah
tinggi. Selain tertekan secara emosi, orang yang mengalami masalah obesiti juga
tidak dapat menikmati
kehidupan mereka sepenuhnya kerana pergerakan yang terbatas. Bagi mengatasi
masalah ini, mereka perlu mengamalkan pemakanan gizi seimbang, iaitu yang
bermaksud pemakanan harian yang mengandungi kesemua kelas makanan dengan
kuantiti yang betul dalam jumlah yang mencukupi.
Masalah obesiti sebenarnya berlaku disebabkan oleh cara hidup yang tidak sihat
seperti tidak menjaga pemakanan seharian. Pengambilan makanan yang berlemak
tinggi dan terlalu manis boleh membawa kepada masalah kegemukan. Makanan
bergoreng juga boleh menyumbang kepada
pengumpulan lemak dalam badan. Justeru itu, kita hendaklah makan lebih banyak
sayur, buah-buahan dan sumber protein yang lain seperti ikan. Penggunaan minyak
dikurangkan dan mempelbagaikan masakan dengan cara mengukus, membakar atau merebus.
Selain daripada itu, sikap malas dan tidak suka bersenam juga menjadi punca
berlakunya masalah obesiti. Apabila kita terlalu memanjakan tubuh dengan cara
tidak melakukan sebarang pergerakan senaman, lemak akan terus terkumpul dalam
badan kita. Oleh itu, kita mesti bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu
selama 30 minit. Antara senaman yang digalakkan ialah berjalan kaki pantas,
berenang, atau bermain badminton.
Di samping itu, peningkatan restoran makanan segera dan penjualan makanan dalam
bungkusan atau tin turut menjadi satu punca obesiti.
Restoran makanan segera sangat digemari ramai penduduk negara ini terutama
mereka yang bekerja kerana tidak perlu lagi bersusah payah untuk memasak
makanan selepas penat bekerja. Walaupun makanan yang disediakan ini
menyelerakan, orang ramai harus sedar bahawa pengambilan makanan ini haruslah
dikurangkan kerana makanan ini tidak berkhasiat dan mengandungi kadar garam,
gula, dan lemak yang tinggi.
Kesimpulannya, masalah obesiti hendaklah diatasi untuk mengelakkan perkara
buruk yang timbul sebagai akibatnya. Obesiti yang berpunca daripada pemakanan
tidak sihat dan kurang bersenam dapat dielakkan jika kita mengubah pengambilan
makanan, cara memasak, dan lebih kerap bersenam. Membuang lemak dalam badan
bukan perkara mudah untuk dilakukan. Usaha ini memerlukan kesabaran dan
kesungguhan.
Sumber dipetik untuk pendidikan:
http://www.cikguhailmi.com/2013/03/pbs-esei-obesiti-definisi-punca-langkah.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan